Saturday, November 12, 2011

MENCARI SOLUSI IMAN DI ERA BADAI FITNAH MELAKAR WAJAH DAJJAL


Print
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad S.A.W pernah menggambarkan hari tibanya suatu masa di akhir zaman, di mana fitnah datang secara brutal sehingga dunia digambarkan laksana malam yang gelap gelita. Selanjutnya Nabi S.A.W menerangkan betapa di masa itu jenis pelanggaran yang dilakukan kaum Muslimin tidak lagi dapat digolongkan sebagai dosa kecil, bahkan tidak juga dosa besar. Sebab, betapapun besarnya dosa seseorang, namun jika ia masih memiliki iman-tauhid yang benar dan ia bertaubat dengan sungguh-sungguh, nescaya Allah Taala akan mengampuninya.


Di era badai fitnah, kata Nabi S.A.W, ancaman terbesar ialah kaum Muslimin bakal melakukan jenayah murtad tanpa sedar. Pagi hari seorang lelaki masih beriman, tiba-tiba pada petangnya dia telah menjadi kafir samada sedar ataupun tidak. Atau pada petang hari seseorang itu masih beriman, tiba-tiba pada pagi harinya dia telah menjadi kafir. Nabi S.A.W tidak mengatakan, “Seseorang di pagi hari melakukan kebaikan, lalu di petangnya melakukan kejahatan”, tetapi secara jelas Nabi S.A.W menyebut, “Pagi beriman, petangnya kafir”. Maka bandingan yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W bukan antara berbuat baik dengan berbuat jahat, tetapi antara beriman dan kafir.

Rasulullah S.A.W bersabda, "Segeralah beramal sebelum datangnya rangkaian fitnah seperti malam yang gelap gelita. Di pagi hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu kafir di petangnya. Di petang hari seorang lelaki dalam keadaan Mukmin, lalu kafir di paginya. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia". (Sahih Muslim, No:169)

Jelas Nabi S.A.W memperingatkan bahawa ketika dunia diwarnai oleh badai fitnah, maka ancaman yang muncul bukanlah sekadar keterlibatan dalam dosa-dosa kecil, bahkan tidak pula dosa-dosa yang besar, melainkan munculnya gejala riddah (kemurtadan) tanpa sedar. Bila seseorang telah terlibat dalam dosa kemurtadan, ini bererti dia telah kehilangan keimanan - dan tauhidnya kepada Allah. Ia telah kehilangan barang paling berharga dalam hidupnya. Ia telah kehilangan miftahul jannah (kunci pembuka pintu syurga). Sehingga bila ia sibuk mengerjakan pelbagai amal seperti solat, puasa di bulan Ramadhan, sedeqah, umrah dan sebagainya, maka semua perbuatan itu menjadi sia-sia. Sebab tanpa iman segala amal kebaikan seseorang menjadi tidak bernilai di sisi Allah Taala.

“Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apa pun” (Surah An Nur:39)

Orang yang asalnya beriman (Muslim) lalu menjangkiti virus kemurtadan, maka ia tidak ada bezanya dengan orang yang tidak mengesakan Allah. Amal apapun yang ia kerjakan menjadi laksana fatamorgana, terhapus tanpa bekas dan penilaian di sisiNya.

“Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamaNya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya” (Surah Al Baqarah:217)

Oleh kerana itu, sangat penting sekali bagi Muslim yang sedar bahawa ia sedang hidup di era badai fitnah untuk mempelajari apa sahaja perkara yang termasuk nawaqidh al-iman (pembatal keislaman) agar ia dapat menghindarkan dirinya dari terjangkit virus pembatal iman. Dan perlu diketahui bahawa era badai fitnah ini merupakan pra-kondisi menjelang hadirnya puncak fitnah iaitu fitnah paling dahsyat sepanjang zaman, fitnah Ad Dajjal. Di puncak fitnah dunia akan menyaksikan aneka fitnah bermunculan dan kian merebak sehingga munculnya Dajjal sebagai oknum thaghut yang pernah diberitakan oleh Baginda S.A.W.

Sebelum kehadiran Ad-Dajjal, dunia bakal diramaikan oleh penguasa zalim yang menantikan kehadiran pembelanya itu. Inilah yang disebut oleh Nabi Muhammad S.A.W mengenai perjalanan sejarah ummat Islam sebagai babak keempat, iaitu babak kepemimpinan para Mulkan Jabriyyan (para penguasa yang keras memaksa). Inilah babak yang sedang dijalani oleh umat Islam dewasa ini. The darkest ages of the Islamic history (era paling kelam dalam sejarah Islam).

"Sungguh fitnah sebahagian dari kalian lebih aku takutkan dari fitnahnya Ad Dajjal dan tiada seseorang dapat selamat dari fitnah Dajjal melainkan ia dahulu mengharungi kepelbagaian fitnah sebelumnya. Dan tiada fitnah yang dibuat sejak adanya dunia ini, baik kecil mahupun besar kecuali untuk (menjemput) fitnah Ad Dajjal" (Musnad Imam Ahmad No:22215)

Ertinya, barangsiapa yang mengaku Muslim dan sanggup menyelamatkan dirinya menghadapi aneka fitnah sebelum Dajjal keluar, maka Nabi S.A.W memberi jaminan bahawa Muslim tersebut merupakan calon yang selamat menghadapi puncak fitnah, iaitu Dajjal. Barangsiapa yang mengaku Muslim dan sanggup menyelamatkan diri menghadapi aneka thaghut penguasa zalim yang ada sebelum keluarnya Dajjal, maka Nabi menjamin bahawa Muslim tersebut bakal selamat menghadapi puncak thaghut penguasa zalim Dajjal saat ia keluar.

Allah menggambarkan seorang Musslim sejati ialah mereka yang istiqamah beriman kepada Allah Taala kemudian mengingkari thaghut.

“Barang siapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat (La ilaha illa Allah) yang tidak akan putus” (Surah Al Baqarah:256)

Bagaimana seorang Muslim dikatakan sebagai ahli tauhid  sejati bila ia hanya beriman kepada Allah, namun tidak siap dan rela mengingkari thaghut? Apalagi saat dunia dewasa kini sedang didominasi oleh para Mulkan Jabriyyan berupa thaghut penguasa zalim yang menjadi pra-kondisi menjelangnya puncak thaghut penguasa zalim iaitu Dajjal. Sudah pasti ketauhidan seorang Muslim itu diragui apabila dia sibuk menghamba kepada Allah dengan bijih-bijih tasbih, namun ia tidak mahu menjauhi dan mengingkari thaghut.

Sikap separuh-separuh dalam mentauhidkan Allah dengan cara merelakan dirinya diperdaya oleh thaghut, sangat berpotensi menjatuhkan dirinya dihidapi serangan virus murtad tanpa sedar. Ini kerana men-tauhidkan Allah itu memiliki dua sisi yang saling berkaitan iaitu; Beribadah kepada Allah dan menjauhi thaghut. Malah ia merupakan pesan abadi Para Rasul utusan Allah sepanjang masa.

“Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (sahaja yang layak disembah), dan jauhilah Thaghut itu”(Surah An Nahl:36)

Nabi Muhammad S.A.W memperingatkan kita bahawa pada saat Dajjal keluar, maka Allah akan mengizinkan kepada setiap orang yang benar-benar beriman dengan sebaner-benar tauhid untuk menyingkap tulisan - KAFIR - di dahi Dajjal.

“Sesungguhnya Dajjal buta (sebelah) matanya, di atas matanya ada kulit tebal, di antara kedua matanya tertulis KAFIR yang mampu dibaca oleh setiap Mukmin samada dibaca secara tulis ataupun tidak” (Sahih Muslim No:5223)

Ertinya, sesiapa yang sebelum keluarnya Dajjal sudah disampuk dosa murtad tanpa sedar, maka jangan harap dia akan diizinkan Allah untuk menyingkap tulisan kafir di dahi Dajjal. Malah besar kemungkinan dia turut terpengaruh mengkagumi Dajjal sebagaimana kaum yang nyata kekafirannya.

Semoga Allah Taala memelihara dan memantapkan iman-tauhid kita di era badai fitnah menjelang keluarnya puncak fitnah iaitu Al Masih Ad Dajjal.

"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari azab jahannam, azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan dari jahatnya fitnah Al Masih Ad Dajjal" (Sahih Muslim No:923) 

PERANAN JAMAAH ISLAM DALAM MENGHADAPI THOGHUT DARI GOLONGAN PENGUASA


Print
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapatnya jamaah Islam dalam sesuatu masyarakat yang diuji dengan thoghut di kalangan penguasa sehingga mereka sanggup melenyapkan orang-orang baik yang hendak mengislah masyarakat. Satu hakikat yang perlu difahami bahawa perjuangan Islam sering berhadapan dengan golongan penguasa terutamanya para pemerintah yang tidak berdasarkan kepada Islam dan sekaligus menjadi penghalang kepada kerja-kerja Islam. Hal ini boleh dilihat dengan jelas dalam perjuangan Para Nabi dalam berhadapan dengan golongan toghut di zaman mereka. Justeru itu apakah yang sepatutnya dilakukan oleh jamaah ini jika berhadapan dengan keadaan ini?

Menurut Said Hawa jika jamaah Islam berhadapan dengan thoghut di kalangan pemerintah yang zalim, fasiq serta tidak menjalankan syariat Islam secara keseluruhannya, maka adalah menjadi satu kewajipan kepadanya sekiranya berkemampuan untuk menurunkan mereka dari kerusi pemerintahan dengan cara yang aman atau menukarkannya dengan orang yang selayaknya. Selagi mana mereka masih mendirikan solat kita tidak boleh membunuhnya tetapi jika mereka tidak solat harus untuk kita memeranginya [Said Hawa, Jundullah : Thaqafatan Wa Akhlaqan, M/S:403-404].

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintaimu dan kamu mencintai mereka, mereka mendoakan kemudian kamu mendoakan mereka. Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membencimu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu". Bertanya seseorang, "Ya RasulAllah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?". Jawab Rasulullah, "Tidak, selagi mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan yang tidak baik dari pembesarmu, proteslah tindakkannya dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)" [Riwayat Muslim, Kitab Al Imarah. Hadis No:4781].

Dalam mazhab Hanafi bahawa pemerintah yang fasiq hendaklah diturunkan dari takhtanya jika mampu dilakukan dengan cara yang aman [Said Hawa, Jundullah : Thaqafatan Wa Akhlaqan, M/S:404]. Namun sekiranya tidak mampu diturunkan dengan secara aman dan pemimpin itu masih lagi solat maka jamaah itu berkewajipan melaksanakan peranan-peranan ini. Antara peranan jamaah Islam apabila wujud golongan ini dalam masyarakat ialah :

1. Menjalankan Amar Makruf Nahi Mungkar

Konsep amar makruf nahi mungkar merupakan salah satu ciri keistimewaan umat Islam. Firman Allah yang bermaksud, "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)". [Surah Ali Imran:110]

Ia menjadi kewajipan bagi umat ini untuk melaksanakan tanggungjawab ini bagi memperbaiki nilai-nilai kemanusiaan di semua peringkat. Hukum kewajipannya amat jelas dinyatakan oleh Al Quran dan Al Hadis. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya" [Surah Ali Imran:104].

Rasulullah S.A.W menekankan betapa perlunya umat Islam melaksanakan kewajipan ini walaupun orang itu lemah imannya. Sabda Baginda S.A.W, "Barangsiapa dari kamu telah melihat kemungkaran, maka hendaklah diubah (dihilangkan) dengan tangan, jika tidak sanggup, maka dengan lisan dan jika masih tidak sanggup,maka dengan hatinya. Dan itulah iman yang paling lemah" [Riwayat Muslim, Kitab Al Iman, Hadis No:175].

Manakala para ulama pula menganggap orang yang berdiam diri dari perkara bid‘ah dan mungkar adalah orang yang redha dengan perkara tersebut dan ia mendapat dosa. Kalau ia tidak mampu, memadai membenci dengan hatinya [Said Hawa, Jundullah : Thaqafatan wa Akhlaqan, M/S:372]. Islam telah menggariskan langkah-langkah amar makruf nahi mungkar yang perlu dilaksanakan oleh sesuatu jamaah Islam terutamanya dalam masyarakat yang diuji dengan pemimpinnya yang zalim dan fasiq. Antara marhalah yang perlu dilaluinya ialah :

i. Nasihat, Pengajaran Yang Baik dan Peringatan (Tazkirah).

Jamaah Islam hendaklah memulakan peranan Amar Makruf Nahi Mungkar terhadap pemerintah yang zalim ini dengan menasihatinya melalui nasihat, tazkirah (peringatan) dan pengajaran yang baik kerana al-Din itu adalah nasihat. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman" [Surah Az Dzaariyaat:55].

Firman Allah Taala lagi, "Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu" [Surah Qaaf:45].

Ia hendaklah menyebut hakikat kehidupan ini yang bermula dari air yang hina dan akan berakhir dengan sekujur tubuh yang tidak bermaya. Kalau begitulah permulaan dan pengakhirannya maka tidak selayaknya kita menyombong diri, melampaui batas dan bermusuhan dengan manusia. Sesungguhnya pemerintah itu juga merupakan hamba Allah dan tiada hak baginya untuk menindas hamba-hamba kepada Tuhannya iaitu hamba Allah sepertinya juga. Ia tidak berhak menzalimi hamba-hamba Allah yang lain kerana Allah Taala lebih kuat daripadanya dan Maha Besar sifatNya.

Seorang lelaki yang sempat hidup di zaman pemerintahan Uthmaniyyah sebelum berlakunya perang dunia pertama telah menceritakan bahawa kebiasaan bagi sultan empayar ini baginda menunggang kuda untuk sampai di Masjid Jami’e Sultan Ahmad bagi menunaikan sembahyang Jumaat. Apabila baginda sampai di pintu masjid sedang menunggu seorang dari tenteranya sambil berdiri tegak mengadap sultan yang berada di atas tunggangannya. Maka tentera tersebut berkata dengan suara yang kuat, "Wahai sultanku, janganlah engkau tertipu. Allah itu lebih hebat darimu dan Maha Besar!". Mendengar seruan itu baginda segera turun dari kuda tunggangannya dan berjalan kaki masuk ke masjid [Dr.Abd Karim Zaidan, Al Sunan Al Ilahiyyah, M/S:196].

Jamaah Islam ini juga perlu menyebut di dalam nasihatnya bahawa Allah Taala selalu menangguhkan pembalasan terhadap pemerintah yang zalim kerana sifatNya yang lemah lembut terhadap hamba-hambaNya. Mudah-mudahan Allah Taala mengampuninya sekiranya ia bertaubat. Kemungkinan nasihat-nasihat ini akan menyedarkannya atau menimbulkan rasa takutnya kepada Allah Taala.

Nasihat dan peringatan yang dikemukakan oleh jamaah Islam ini hendaklah dilakukan dengan cara hikmah dan lemah lembut sebagaimana Allah Taala telah memerintahkan NabiNya Musa dan Harun agar berhadapan dengan Firaun dengan cara berlembut terhadapnya. Firman Allah Taala, "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut" [Surah Toha:43-44].

Dalam perkara ini Imam Al Ghazali menyatakan bahawa hendaklah melarang dengan melalui pengajaran, nasihat dan menakut-nakutkan mereka dengan azab Allah Taala. Ia dikemukakan ketika berhadapan dengan orang yang mengerjakan sesuatu sedangkan dan ia mengetahui bahawa perbuatan itu adalah mungkar, atau terhadap orang yang sentiasa membuat kemungkaran setelah mengetahui bahawa perbuatan itu mungkar seperti orang yang terus menerus meminum arak, membuat kezaliman, atau memaki-maki kaum muslimin atau yang seumpama dengannya. Sebaik-baiknya hendaklah diberi pengajaran, dipertakutkan dengan Allah Taala dan dibacakan hadith-hadith kepadanya yang berkisar tentang balasan siksa terhadap perbuatan mungkar serta diceritakan kepadanya perjalanan hidup para alim ulama terdahulu dan ibadat orang-orang yang bertaqwa. Semuanya ini hendaklah disampaikan dengan penuh kasih sayang, lemah lembut tanpa disertai dengan kata-kata yang kasar dan emosi bahkan hendaklah memandangnya dengan kasih sayang dan menganggap bahawa perbuatan maksiat yang dilakukan itu merupakan satu malapetaka yang menimpa dirinya, kerana atas dasar bahawa orang-orang Islam seperti jiwa yang satu. Di sinilah bahaya besar yang sepatutnya di elakkan kerana ia akan membawa kebinasaan [Al Ghazali, Ihya’ ‘Ulumiddin, Terj. Prof. Tk. H. Ismail Yakub, 3/523].

ii. Mengucapkan Kata-kata Larangan Yang Keras.

Termasuk juga dalam amar makruf nahi mungkar terhadap golongan thoghut ini dengan memaki dan menggertak mereka dengan kata-kata yang kasar dan keras. Ia dilakukan ketika mana larangan secara lembut tidak berhasil bahkan mereka menunjukkan bibit-bibit penentangan dan mempersendakan nasihat dan pengajaran yang diajukan [Al Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, 3/525]. Contoh yang boleh di ambil ialah dari sunnah Para Nabi dalam marhalah dakwahnya sebagaimana permulaan Nabi Musa berhadapan dengan Firaun dengan kata-kata yang lemah lembut, tetapi cara bercakapnya berubah apabila Firaun menunjukkan adabnya yang buruk kepada Nabi Musa A.S. Firman Allah Taala, "Nabi Musa menjawab; Sebenarnya engkau (wahai Firaun) telah pun mengetahui tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau wahai Firaun, akan binasa". [Surah Al Isra’:102]

Begitu juga yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S terhadap pembesar-pembesar kaumnya. Setelah menasihati mereka dengan lemah lembut dan membentangkan hujjah yang ilmiah tetapi tidak diterima, malah Baginda diancam nyawanya maka Nabi Ibrahim menukar uslub dakwahnya dengan memaki mereka. Allah menceritakan keadaan ini dalam firmanNya, "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?" [Surah Al Anbiya’:67].

Menurut Imam Al Ghazali yang dimaksudkan dengan makian dan kata-kata yang kasar itu bukanlah memaki dengan perkara-perkara yang keji dan juga bukan pula pembohongan, tetapi hendaklah mengucapkan kata-kata yang tidak termasuk dalam perkara-perkara keji seperti mengatakan, Hai orang fasiq!, Hai si ahmaq (orang dungu)! Tidakkah kamu takut kepada Allah? atau Hai orang yang bebal dan yang senada dengannya. Ini adalah kerana semua orang fasiq adalah dungu dan bodoh. Jika tidak kerana kedunguannya maka ia tidak akan melakukan maksiat kepada Allah Taala [Al Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, 3/525].

Orang yang pintar adalah orang yang memang diakui oleh Rasulullah S.A.W akan kepandaiannya sehingga Baginda bersabda, "Orang pintar ialah orang yang menjadikan dirinya tunduk kepada semua perintah Allah dan beramal untuk bekalan selepas mati, sedangkan orang yang dungu ialah orang yang mengikuti dirinya kepada ajakan hawa nafsu dan ia berangan-angan bahawa Allah akan mengampuninya" [Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim dan At Tirmizi].

Peringkat ini mempunyai adab dan tatasusilanya iaitulah yang Pertama : tidak menggunakan cara ini melainkan bila benar-benar diperlukan dan jika tidak berhasil dengan dengan kata-kata yang lemah lembut. Kedua : tidak akan mengeluarkan kata-kata tersebut melainkan dengan kebenaran serta bercakap sekadar yang diperlukan sahaja [Al Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, 3/526].

Namun menurut Imam Al Ghazali uslub sebegini tidak berapa berkesan dan tidak diharuskan jika diucapkan kepada golongan pemerintah kerana kemungkinan ia akan menimbulkan fitnah dan mendatangkan keburukan kepada orang lain. Tetapi jikalau uslub ini tidak memudaratkan orang lain dan hanya pada dirinya sahaja maka ianya diharuskan mengikut jumhur ulama’ malah disunatkan [Al Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, 3/560].

Sebenarnya sudah menjadi adat kebiasaan ulama terdahulu, mereka sering tampil menegah kemungkaran dan berterus terang menghalangnya tanpa memperdulikan bahaya terhadap dirinya. Mereka selalu diuji dengan berbagai-bagai seksaan yang membawa kesengsaraan kepada dirinya kerana mereka menyedari bahawa yang demikian itu membolehkan mereka mati syahid sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, kemudian orang yang bangkit berhadapan dengan penguasa dan menyuruhnya berbuat baik serta melarang yang mungkar kerana Allah Taala, lalu sang penguasa itu membunuhnya di atas persoalan yang demikian itu" [Riwayat Al Hakim dan At Tabrani].

Dapatlah disimpulkan daripada perkara di atas bahawa uslub atau cara bercakap dan berucap dengan mad‘u (sasaran dakwah) ini berbeza-beza mengikut keadaan seseorang itu. Ia akan berubah-ubah mengikut kesesuaian suasana dan situasi. Peringkat awal seruan amal makruf nahi mungkar ini hendaklah dengan lemah lembut dan nasihat yang baik. Sehinggalah peringkat yang paling akhir yang sesuai dengan sikap golongan thoghut yang perilakunya sentiasa mencabar, menghina dan mendustai kebenaran, maka mereka ini hendaklah dihadapi dengan cabaran juga serta penentangan sebagaimana marhalah (peringkat) dakwah Nabi Musa kepada Firaun.

iii. Membangkang Setiap Penyelewengan dan Kezaliman.

Jamaah Islam hendaklah mengambil sikap sebagai pembangkang sekiranya berbagai-bagai nasihat yang diberikan tidak mampu mengubah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah yang melampaui batas ini. Maksud pembangkang di sini ialah tidak berkasih sayang dan bersekongkol dengan mereka [Said Hawa, Jundullah : Thaqofatan wa Akhlaqan, M/S:404]. Rasulullah S.A.W bersabda, "Aku memohon perlindungan untuk engkau dengan Allah wahai Ka’ab bin ‘Ujrah daripada pemimpin-pemimpin yang di kemudian hari setelah aku tiada, maka siapa yang menutup pintu-pintu mereka, membenarkan pembohongan mereka dan membantu tindakan mereka yang zalim, maka ia bukan termasuk dari umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga ( yang ada di syurga). Dan siapa yang menutup pintu-pintu mereka atau tidak menutupnya, tidak membenarkan pendustaan mereka dan tidak membantu kezaliman yang dilakukan maka ia termasuk dalam umatku dan aku sebahagian daripadanya. Dan ia akan dapat sampai ke telaga itu (di syurga)". [Riwayat At Tirmizi]

Adalah menjadi kewajipan setiap jamaah Islam berhadapan dengan setiap penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah dengan berdebat, mengemukakan hujjah-hujjah serta membangkang keras perilaku mereka di samping masih lagi menasihatinya secara berterusan. Dalam perkara ini Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sesungguhnya semulia-mulia jihad ialah mengatakan keadilan kepada penguasa yang zalim" [Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah].

Sikap membangkang ini juga hendaklah disertakan dengan menghalang segala kefasadan (kerosakan) yang dilakukan dengan apa sahaja cara yang terbaik dengan membuat penyelidikan dan kajian serta memberi peringatan kepada masyarakat agar berwaspada dan jangan tertipu dengannya. Hendaklah mewar-warkan atau menghebahkan kepada masyarakat tentang penyelewengan yang dilakukan. Para ulama telah menggariskan tempat-tempat yang dibolehkan untuk mengumpat pemerintah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam a-Nawawi di dalam kitab Al Azkaar. Beliau menyebut bahawa antara tempat-tempat yang diharuskan mengumpat ialah orang yang mempunyai wilayah pemerintahan tetapi tidak menjalankan kewajipan yang sepatutnya samada ia bukanlah orang yang baik ataupun ia seorang yang fasiq atau lalai dan yang seumpama dengannya. Maka wajiblah menyebut kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah ini bagi menggantikannya dengan orang yang lebih baik dan sesuai [An Nawawi, Al Azkaar fi Kalaami Sayyidi Al Abraar, M/S:295-296]

2. Memberi Penerangan dan Penjelasan Kepada Masyarakat.

Jamaah Islam ini mestilah memberitahu masyarakat melalui program-program penerangan tentang penyelewengan pihak pemerintah serta kewajipan mereka ketika berhadapan dengan pemimpin yang thoghut dan zalim. Antara bentuk penerangan dan penjelasan yang boleh dihebahkan kepada masyarakat ialah :

i. Haram Menyokong Orang Yang Zalim.

Ia hendaklah memberitahu masyarakatnya bahawa Allah Taala mengharamkan hamba-hambanya memberi sokongan dan pertolongan kepada pemimpin yang zalim dan melampaui batas, bahkan melarang dari cenderung kepadanya samada cenderung dengan kata-kata dan perbuatannya, memuji-mujinya, menganggap segala pekerjaannya adalah yang terbaik, hadir dalam majlisnya ataupun menunjukkan kegembiraan apabila bertemu dengannya [Dr. Abd Karim Zaidan, Al Sunan Al Ilahiyyah, M/S:197].

Semuanya ini termasuk dalam makna memberi sokongan kepada pemimpin yang zalim atau cenderung kepadanya. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" [Surah Huud:113].

Daripada ayat di atas para ulama berhujjah bahawa Allah Taala melarang dari memberi sebarang bentuk pertolongan kepada orang-orang yang zalim dan berkhidmat dengannya. Imam Al Alusiy mengatakan bahawa makna cenderung kepada orang-orang yang membuat kezaliman ialah duduk bersama-sama mereka dalam satu majlis tanpa ada sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak [Al Alusiy, Ruh Al Ma‘ani, 12/154]

ii. Pemimpin Thoghut Dan Zalim Tidak Boleh diikuti dan Ditaati.

Masyarakat juga mesti diberitahu bahawa pemimpin toghut tidak boleh diikuti atau ditaati. Ia tidak akan mampu melakukan perkara yang melampai batas tanpa pertolongan dan dokongan dari para pengikut dan para penyokongnya. Pengikut dan penyokong adalah sebahagian daripada masyarakat dan mereka merupakan jentera pemimpinnya ketika melaksanakan kezaliman dan perkara yang melampaui batas. Oleh yang demikian mereka juga dianggap toghut dan zalim seperti pemimpinnya. Mereka turut terlibat dan berkongsi melakukan dosa dan jenayah ini, kerana itulah Allah Taala mensifatkan Fir‘aun dan pengikut-pengikutnya dengan sifat yang satu sebagaimana firmanNya,"Sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah". [Surah Al Qasas:8]

Begitu juga apabila Allah Taala membinasakan Firaun, mereka juga turut serta dibinasakan oleh Allah Taala. FirmanNya, "Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya" [Surah Toha:78].

Firman Allah lagi, "Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim" [Surah Al Qasas:40].

Pengikut dan penyokong juga akan melakukan perkara yang melampaui batas sebagaimana pemimpinnya. Firman Allah Taala, "Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar, dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami" [Surah Al Qasas:39].

iii. Umat Islam Memiliki Peribadi Muslim.

Seperkara lagi yang perlu diberitahu kepada masyarakat bahawa umat Islam mempunyai peribadi yang satu iaitulah peribadi Muslim yang berteraskan kepada Islam secara menyeluruh dalam setiap pendiriannya. Tidak patut bagi seorang Islam itu mengucapkan kata-kata dan melakukan sesuatu tindakan yang tidak selari dengan kehendak Islam. Semuanya hendaklah dilakukan dan dilafazkan kerana tujuan yang satu iaitu mengharapkan keredhaan Allah Taala, "Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" [Surah Al An‘aam:162-163].

Justeru itu tidak sewajarnyalah seorang Muslim mempunyai dua peribadi : Peribadi Muslim ketika berada di masjid dan peribadi pak turut dan khadam kepada pemimpin thoghut ketika melaksanakan kezalimannya. Peribadi ini sangat bertentangan dengan tuntutan Islam. Setiap individu Muslim itu mestilah menjaga keperibadian muslimnya dan hendaklah segala pekerjaannya selaras dengan keperibadian ini. - TARBAWI


Sunday, October 30, 2011

QURAN MENJELASKAN ,,MATTER IS MADE OF ENERGY,,E=MC2



Pendahuluan

Alhamdulillah
bersyukur kehadrat Allah SWT serta selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seluruh ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabiin, para mujahid, para alim-ulama, para guru/ustaz, dan seluruh muslimin dan muslimat.

Dengan izin Allah SWT kita dapat berjumpa lagi.
Pada siri yang lepas kita mengkaji ayat An-Nahl 16:81 yang menjelaskan Allah SWT telah melengkapkan nikmatNya kepada manusia iaitu ilmu pertahanan sel-sel badan dan minda dari pelbagai ancaman halus, ancaman "ghaib", ancaman peringkat sub-atomik, peringkat gelombang, peringkat gelombang elektromagnetik, pelbagai radiasi dan sebagainya.



Oleh kerana kita mengkaji ayat-ayat Quran dari perspektif ICT, maka kita mengkaji dengan menggunakan metod "Al-Quran bi Al-Quran", maka untuk memahami kahendak ayat An-Nahl 16:81 ini, maka kita mesti mengkaji dan memahami ayat An-Nahl 16:48 (pada siri yang lepas) iaitu dengan menghubung atau menggabungkan ayat-ayat Quran sesama ayat-ayat Quran untuk menjana ilmu pengetahuan baru, petunjuk baru, hukum atau undang-undang baru, dan sebagainya.

Inilah yang dinamakan "Al-Quran" iaitu masdar dari perkataan "Qarana/Yaqrinu" yang bermakna "menggabungkan benda (seperti simbol, tanda, ayat, huruf, perkataan, konsep, dan sebagainya". Atau dengan perkataan lain Al-Quran ialah satu pangkalan data yang amat canggih (an advanced multi-dimension relational database system - RDBMS), atau dalam bahasa ringkas ialah super-super computer!


Diagram Ringkasan

Di bawah ini saya ringkaskan apa yang telah kita bincang dan bahas (sejak blog ini dimulakan) dalam bentuk diagram atau postal agar ianya mudah dilihat nampak dan lebih jelas. Diagaram "Definition of Qur'an from Qarana/Yaqrinu" ini adalah menggabungkan atau menghubungkan atau mengaitkan ayat-ayat yang telah kita bincang sejak Nov 2009, iaitu sejak bermulanya "Siri Kajian Al-Quran".


Maafkan saya kerana tidak sempat menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Diagram ini dibuat ketika saya membentangkan beberapa kertas kerja pada konferans antarabangsa yang bertajuk "To Think Outside The Box, Think Inside Al-Quran". Saya fikir mungkin ianya tidak perlu diterjemahkan sebab kesemua ayat-ayat ini sudah dijelaskan dalam Bahasa Melayu dalam beberapa siri yang lepas.

Kaji dan perhatikan diagram ini baik-baik, dan lihat kehebatan dan kemukjizatan "Al-Quran" yang bersifat sebuah super computer, sebuah relational database system (RDBMS), dan cara bagaimana Al-Quran menjelaskan segala-galanya. Lihat bagaimana kehebatan Allah SWT memilih perkataan-perkataan agar ianya sentiasa sesuai dan boleh difaham di sepanjang zaman. Subhanallah!


Matter is Made of Energy: E = MC2

Pada siri yang lepas kita bincang tentang asal kejadian segala benda iaitu kejadian primer dan kejadian sekunder. Kita telah menganalisa dan memperincikan ayat An-Nahl 16:48 iaitu semua benda terhasil sebab adanya tenaga, atau "energy", atau daya tarikan dan tolakan (daya magnet). Daya ini membolehkan terjadinya pelbagai jenis ikatan kimia (chemical bonding) seperti ionic bonding, covalent dan polar covalent dan sebagainya.

Pada ayat 16:48 ini Al-Quran menggunakan perkataan "dzilaalan" yang bermakna "bayang-bayang" atau dalam bahasa inggeris "cloud or shadow". Cuba perhatikan Al-Quran telah menggunakan perkataan "Dzilaalan" (cloud) sejak 1,400 tahun yang lampau sedangkan para Saintis Barat hanya tahu menggunakannya sejak pada abad ke-20, Subhanallah!

Adakah Einstein mendapat idea E=MC2 dari Al-Quran? Atau memang umat Islam malas mengkaji Al-Quran (sebab Al-Quran telah memberi petunjuk tentang E=MC2)? Kenapa umat Islam tidak mahu bergembira dengan Al-Quran dan maseh berlagak pandai mahu mengumpul kitab-kitab lain sedangkan Allah SWT mengatakan Al-Quran adalah lebih baik dari kitab-kitab lain yang sedang mereka kumpul (Yunus 10:58)?

Kalaulah Al-Quran boleh menjelaskan E=MC2 (matter is made of energy), boleh menjelaskan wireless communication, boleh menjelaskan pengaruh sublimal dan pelbagai fenomena yang mutakhir, maka tidakkah anda percaya dan yakin dengan janji Allah bahawa Al-Quran menjelaskan segala-galanya? Masihkan anda merasakan bahawa anda lebih pandai dari Allah SWT, anda lebih tahu dari Allah SWT, serta merasakan Al-Quran itu sebuah kitab umum, sebuah kitab yang tidak menjelaskan segala-galanya, kitab yang ada ayat-ayat yang meragukan?

Sebelum anda memberitahu kepada orang-ramai bahawa Al-Quran adalah kitab umum, kitab yang tidak menjelaskan cara-cara solat, cara-cara mandi jenazah, cara-cara buat budu, belacan, bergelak ketawa merendah-rendahkan dan memperlekehkan Al-Quran (tidak mahu bergembira dengan kitab Al-Quran), adakah anda sendiri pernah mengkajinya? Atau anda hanya membaca dari kitab-kitab tafsir dan terus membuat kesimpulan bahawa Al-Quran adalah kitab umum, bukan kitab yang menjelaskan dengan mendalam dan terperinci?


Quran = Super Computer = Highly Advanced Multi-Dimension Relational Database System

Sejak awal siri "Kajian Al-Quran" ini kita telah mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah super-super computer, dan cara untuk mengkaji dan menganalisa ayat-ayat Quran hanyalah dengan metod "Al-Quran bi Al-Quran", hanyalah dengan method yang telah ditetapkan Allah SWT.

Cuba kaji dan analisa kenapa Allah SWT memberi nama kitab ini sebagai "Al-Quran"? Adakah Quran itu adalah masdar dari perkataan "qara-a/yaqra-u" (to read) atau dari perkataan "Qarana/Yaqrinu" (to conjoin things and be together). Lihat perkataan "conjoin" bermaksud "to relate". Oleh kerana "relational database system (RDBMS)" belum wujud lagi ketika Al-Quran diturunkan (1400 tahun yang lalu), maka manusia pada ketika itu tidak faham apa itu computer system, apa itu database system, apa itu relational, apa itu compression, apa itu index, kekunci, dan sebagainya.

Para sahabat dan para taabiin tidak bersalah sebab mereka sudah buat apa yang terbaik, yang bersalah adalah kita sebab tidak mahu mengkaji ayat-ayat Quran, sebab ragu-ragu "Al-Quran menjelaskan segala-galanya", tidak yakin dengan suruhan Allah SWT supaya umat Islam bergembira dengan Al-Quran dan Al-Quran itu adalah lebih baik dari kitab-kitab lain yang sedang mereka kumpul! ( Yunus 10:58).

Cuba lihat ayat Hud 11:1 kenapa Allah menyebut "Alif-Lam-Ra" iaitu huruf-huruf qat'i (huruf potong/huruf rengkas). Tidakkah ini merupakan simbol, merupakan tanda, merupakan kekunci, merupakan kod atau dalam bahasa Arab "ayat". Kenapa digunakan perkataan "ayah (singular) atau ayat (plural)", dan tidak "kalam" (perkataan), atau "jumlah/jumal" (ayat atau kalimat), dan sebagainya? Dan cuba kaji pada ayat 11:1 ini kenapa Allah mengatakan "uhkimat ayatihi" yang bermakna ayat-ayat atau tanda-tanda atau simbol-simbol yang dikukuhkan (signs or symbols that have been strengthened or solidified)! Tidakkah ini menjadi tanda bahawa Al-Quran itu adalah sebuah komputer yang diturunkan dalam bentuk sebuah buku dalam bahasa Arab?

Bagaimana Al-Quran yang hanya mengandungi kira-kira 6236 ayat boleh menjelaskan segala-gala? Bagaimana Al-Quran boleh sentiasa menjana ilmu-ilmu baru dan panduan hidup baru? Cuba lihat ayat 51:1-4, 16:48, 16:81, dsbnya bagaimana ianya boleh difahami pada zaman Nabi SAW, dan boleh difahami pada abad ke-20 untuk menjana ilmu-ilmu baru?

Maafkan saya kerana gemar mengulang-ulang perkara yang sama. Tetapi ini adalah perkara pokok, perkara amat penting, sebab hanya dengan Al-Quran sahaja umat Islam akan mendapat petunjuk, akan mendapat kegembiraan, akan mendapat kemenangan, dan yang lagi penting akan mendapat akidah dan keyakinan yang penuh, yang bulat, yang kamil, yang tidak tergugak terhadap keEsaan, keAgungan, dan Kekuasaan Allah SWT.

Anda cubalah kaji sendiri ayat-ayat yang telah saya kaji, semuanya jelas, terang dan terperinci. bukanlah saya tokok tambah dengan idea-idea saya sendiri (agar ianya nampak saintifik dan ICTifik), ianya memang jelas dari makna perkataannya sendiri, dari nahunya sendiri, dari i'rabnya sendiri, dari pertaliannya sendiri, atau dengan perkataan lain dengan "Quran"nya sendiri.

Insyaallah pada siri-siri seterusnya kita akan bincang Al-Quran adalah super-computer, adalah multi-dimension RDBMS. Kita akan mengkaji dari segi makna perkataan "Quran" itu sendiri, dan kenapa Allah menamakan kitab ini Al-Quran. Kita kaji dari segi susunan dan struktur ayat-ayat Quran, dan akhir sekali kita akan kaji dari segi isi kandungan Al-Quran itu sendiri, dan bagaimana Al-Quran itu sesuai sepanjang zaman dan sentiasa menjana ilmu-ilmu baru sebagai panduan hidup untuk setiap zaman.


Tempahan Buku

Buku saya bertajuk "Al-Quran Super Database System" yang menjelaskan dengan lebih mendalam dan terperinci apa yang sedang kita bincang sekarang ini adalah pada peringkat akhir, dan insyaallah dijangka siap pada bulan 5/2011 (sebelum Ramadhan 1432).

Antara lain ianya menjelaskan tentang makna perkataan "Quran" dan kenapa Allah menamakan "Al-Quran", bagaimana Al-Quran menjelaskan segala-galanya, bagaimana sentiasa menjana ilmu, tentang "E=MC2", tentang subliminal, tentang EM dan wireless communication, tentang bagaimana matahari naik dari Barat, dan sebagainya. Semua ini adalah hasil kajian saya sendiri (dari ayat-ayat Quran), dan tidak terdapat dalam internet, journal, buku-buku, TV/Radio, seminar, dan sebagainya.

Sesiapa yang berminat untuk membelinya atau menjadi pengedar bolehlah email kepada khalidyong@gmail.com. Harganya RM40.00/buah (tambah bayaran pos Rm10). Sila email kpd saya nama dan alamat tuan/puan, serta pembayaran kepada akaun CIMB saya.

Saya juga sedang cuba menjayakan projek "Quranpedia" atau "Tali-Allah" (hablillah), sesiapa yang ingin "menabur" untuk hari akhirat boleh menghantar sumbangan ke dalam akaun CIMB 1247-0067244-52-8 (C. Ahmad Khalid bin C. Yong).


Quranpedia/"Tali Allah"

Quranpedia atau "Tali-Allah" ialah projek ICT untuk membina "Al-Quran" berdasarkan metod Al-Quran bi Al-Quran untuk menjadi tali yang akan menyatukan fikrah dan mengukuhkan ukhwah seluruh umat Islam. Ianya akan memberi kemudahan kepada kira-kira 5 juta para pelajar sekolah di Malaysia, dan 1 bilion warga internet baik umat Islam atau bukan Islam untuk mengkaji dan menyelidik ayat-ayat Quran secara lebih dekat lagi iaitu dengan metod "Quran bi Quran".

Insyaallah kita akan bincang lagi tentang projek Quranpedia ini selepas selesai pengeluaran buku.


Kesimpulan

Yakinlah bahawa Al-Quran adalah "super-super computer, an advanced multi-dimension relational database system" yang menjelaskan segala-galanya, yang sentiasa menjana ilmu dan petunjuk baru yang memberi kejayaan, kegembiraan, dan kemenangan kepada Umat Islam.

Ayat Yunus 10:58 adalah arahan dan suruhan Allah SWT agar umat Islam bergembira dengan kitab Al-Quran, bukannya untuk meraguinya dan mengajak orang lain meraguinya. Bahkan Al-Quran adalah lebih baik dari pelbagai kitab yang mereka sedang kumpul.

Ayat An-Nahl 16:48 menjelaskan hukum dan peraturan Allah tentang kejadian sekunder, iaitu benda terjadi dari tenaga, "matter is made of energy: E = MC2".

Diagram "Definition Al-Quran" merumuskan beberapa perbincangan sebelum ini dengan menggunakan metod Al-Quran bi Al-Quran di mana untuk memahami ayat 16:81 haruslah difahami kahendak ayat 51:1-11 dan 16:48.


Wallahu a'lam

MEMBUAT BINAAN DIATAS KUBUR DAN TULISAN DIKUBUR


1- hukum membina petak kubur dengan menggunakan simen
2- hukum menulis nama si mati, tarikh kematiannya pada petak simen tersebut
3- hukum menulis al-fatihah di atasnya dan doa semoga allah mengampunkan dosa si mati
Sekian, terima kasih.



1) Terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang hukum membuat binaan di atas kubur di antara haram dan makruh;

a) Pandangan pertama; ia haram secara mutlaknya. Antara ulamak yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Hafidz al-‘Iraqi, asy-Syaukani dan as-Shon’ani. Mereka berpegang dengan makna zahir dari arahan Nabi supaya meratakan kubur dan larangan baginda dari membuat binaan di atas kubur.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُبْنَى عَلَى الْقَبْرِ
“Sesungguhnya Nabi–sallallahu ‘alaihi wasallam- menegah dari membuat binaan di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

عن جابر رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قال: نهى رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya dan dari membuat binaan di atasnya” (Riwayat Imam Muslim dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu-).

Dalam kitab Soheh Muslim, Sunan at-Tirmizi, Abu Daud dan sebagainya; terdapat hadis dari Saidina ‘Ali –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa beliau telah disuruh oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- agar memusnahkan semua patung-patung dan meratakan semua kubur-kubur yang ditinggikan. (Soheh Muslim, Kitab al-Janaiz, bab al-Amr bitaswiyati al-Qabr (hadis no. 969)).

b) Pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); membuat binaan di atas kubur adalah makruh. Mereka memahami larangan Nabi dalam hadis di atas sebagai larangan makruh, bukan larangan haram. Kecualilah jika tanah perkuburan tersebut adalah tanah wakaf awam (yakni bukan milik persendirian), maka haramlah membuat binaan di atas kubur kerana akan menghalang orang lain dari menggunakannya di kemudian hari sedangkan tanah perkuburan itu adalah milik bersama. Begitu juga, haram membuat binaan jika dengan tujuan berbangga-bangga dan menghias-hias kubur. Hukum haram ini telah disepakati oleh ulamak. Jadi, hukum makruh yang dimaksudkan oleh jumhur itu ialah apabila binaan dibuat hanya bertujuan memperkemaskan kubur atau memperelokkannya.

Bagi kubur milik persendirian, sebahagian ulamak (iaitulah ulamak-ulamak mazhab Malik) mengharuskan membuat binaan sederhana di keliling kubur (bukan di atasnya) iaitu sekadar untuk membezakan satu kubur dari satu kubur yang lain. Adapun kubur wakaf tidak diharuskan sebarang binaan (sama ada di atasnya atau di sekelilingnya) atas alasan tadi.

Apa yang menjadi Sunnah Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- ialah kubur tidak ditinggikan melainkan sekadar satu hasta sahaja iaitu untuk dikenali bahawa itu adalah kubur supaya dijaga kehormatannya dari dipijak, dibuang najis atau sebagainya. Dalam kitab Soheh Imam al-Bukhari, terdapat riwayat dari Sufyan at-Tammar yang menceritakan;

أنه رأى قبر النبي صلى الله عليه وسلم مسنما.
“Ia melihat kubur Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- tingginya hanya sekadar tinggi bonggol unta sahaja” (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, bab Ma Ja-a Fi Qabr an-Nabiy wa Abi Bakr wa ‘Umar).

Ketika Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- mengkebumikan jenazah seorang sahabat bernama Usman bin Madz’un –radhiyallahu ‘anhu-, baginda hanya meletakkan tanda di kuburnya dengan seketul batu sahaja di bahagian kepalanya dan baginda bersabda;

"أتعلم بها قبر أخي، وأدفن إليه من مات من أهلي"
“Supaya aku mengenali dengan tanda batu ini kubur saudaraku dan agar aku dapat mengkebumikan di tepinya sesiapa yang mati dari ahli keluargaku” (Sunan Abi Daud, kitab al-Janaiz, bab Fi Jam’ie al-Mauta Fi al-Qabr wa al-Qabr yu’allam).

Berkata Imam as-Syafi’ie; bagi aku makruh meninggikan kubur melainkan sekadar untuk diketahui bahawa itu adalah kubur yakni supaya ia tidak dilangkahi dan tidak diduduki di atasnya. (Sunan at-Tirmizi, Abwab al-Janaiz ‘an Rasulullah, bab Ma Ja-a Fi Taswiyati al-Qabr).

2) Mengenai tulisan di kubur, pandangan ulamak juga sebagaimana di atas iaitu ada ulamak yang mengharamkannya dan jumhur ulamak memakruhkannya. Terdapat hadis dari Jabir bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan;

نهى رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ أن يكتب على القبر شيء.
“Rasulullah menegah dari menulis sesuatu di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Di dalam hadis yang lain;

نهى رسول الله - صلى الله عليه وسلم - عن تجصيص القبور، والكتابة فيها، والبناء عليها، والجلوس عليها
“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, membuat tulisan padanya, membuat binaan di atasnya dan duduk di atasnya” (Riwayat al-Hakim darim Jabir).

Menurut jumhur; larangan (yakni makruh) menulis sebarang tulisan atas kubur itu merangkumi semua tulisan termasuklah menulis nama si mati, ukiran-ukiran dan sebagainya. Dalam kitab al-Majmu’, pengarangnya (Imam an-Nawawi) menegaskan; menurut Imam as-Syafi’ie dan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; ‘Dimakruhkan melapisi kubur dengan kapur putih, menulis di atas kubur nama penghuni kubur atau tulisan lainnya dan membuat binaan di atas kubur’. Hukum ini tidak ada khilaf di sisi kami (mazhab Syaf’ie). (al-Majmu’, 5/163).

Namun demikian, ulamak-ulamak mazhab al-Hadawiyah mengecualikan larangan tersebut dari nama si mati (yakni menurut mereka; diharuskan menulis nama si mati di atas kubur). Mereka mengkiaskannya dengan tindakan Nabi meletakkan batu tanda di atas kubur sahabat bernama Usman bin Madzun tadi untuk mengenali kuburnya. Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Sa’aduddin Hilali (Pensyarah di Universiti al-Azhar) dalam bukunya “Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim” di mana beliau menegaskan; “Pandangan yang terpilih ialah pandangan jumhur ulamak –iaitu makruh membuat tulisan di kubur- kerana kekuatan hujah mereka dan dikecuali dari hukum makruh itu tulisan nama khususnya bagi kubur-kubur milik persendirian supaya tidak ada sesiapa mencerobohnya” (halaman 216).

Adapun menulis ayat-ayat al-Quran di kubur, ulamak-ulamak mazhab Malik menegaskan; selayaknya perbuatan tersebut diharamkan kerana ia membawa kepada merendah-rendahkan al-Quran lama kelamaan dan terjatuh ayat-ayat al-Quran ke tempat berpijak kaki manusia.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim, Dr. Saaduddin Mus’ad Hilali (hlm. 215-233).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Janaiz, bab an-Nahyi ‘an Tajsis al-Qabr, wa al-Bina’ ‘Alaihi wa al-Julus ‘alaihi.
3. Ahkam al-Mayyit wa ‘Adaat al-Maatim, as-Sadiq bin ‘Abd Rahman al-Gharyani, hlm. 44.
4. Nailul-Autar, juz. 4, Tabi’ Kitab as-Solah, bab Taslim al-Qabr wa rasysyihi bil-Ma-a wa ta’limuhu li yu’rafa…

UJIAN DAN LAKNAT ALLAH

Dalam sebuah hadis, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

عجباً للمؤمن لا يقضي اللّه له قضاء إلا كان خيراً له، إن أصابته سراء شكر فكان خيراً له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيراً له
“Sungguh menakjubkanku apabila melihat orang beriman. Tidak ada suatu ketetapan yang Allah putuskan untuknya melainkan semuanya baik baginya. Tatkala ia ditimpa perkara-perkara yang menggembirakan, ia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Tatkala ia ditimpa perkara-perkara yang memudaratkannya, ia bersabar, maka itu juga baik baginya” (Diriwayatkan dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-. Lihat hadis ini dalam; Tafsir Ibnu Kathir, surah Saba’, ayat 19).

Berdasarkan hadis ini kita wajib meyakini kasih sayang Allah kepada kita selagimana kita beriman kepadaNya. Wajib kita bersangka baik dengan Allah. Di dalam hadis Qudsi, Allah sendiri berfirman kepada hamba-hambaNya;

قال الله تعالى: أنا عند ظن عبدي بي، إن ظن خيرا فله، وإن ظن شرا فله
“Aku adalah bergantung kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Jika ia bersangka baik (kepadaKu), kebaikanlah (yang akan Aku berikan) untuknya. Namun jika ia bersangka jahat (kepadaKu), kejahatanlah (yang akan Aku berikan) untuknya” (Riwayat Imam Ahmad dari Abi Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 6051).

Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; di antara sebesar-besar dosa kepada Allah ialah bersangka buruk terhadapNya, kerana seorang yang bersangka buruk terhadap Allah ia bersangka dengan sangkaan yang bercanggah dengan kesempurnaan Allah yang maha qudus (suci dan bersih dari segala kekurangan) dan sangkaan itu bertentangan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah. Kerana itu, Allah memberi ancaman yang berat kepadanya sebagaimana yang Ia berikan kepada orang-orang munafik dan musyrik;

“Dan supaya ia menyeksa orang-orang munafik -lelaki dan perempuan- dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan- yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa ia akan mengecewakan RasulNya). atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (al-Fath, ayat 6).
(Faidhul-Qadier, hadis no. 1933)

Kita dapat lihat dalam ayat di atas bahawa bersangka buruk berhadap Allah ialah sikap orang munafik dan musyrik. Kerana sikap itulah mereka dimurkai dan dilaknat oleh Allah. Berbalik kepada soalan saudara di atas, bukan ujian yang menandakan laknat Allah ke atas kita, akan tetapi tatkala kita berputus asa dari rahmat Allah dan bersangka buruk kepadaNya itulah sebenarnya yang akan mengundang laknat Allah kepada kita. Nasihatilah kawan saudara itu agar bersangka baik kepada Allah, bersabar menghadapi ujian Allah dan terus beribadah dan berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh. Yakinlah, akan tiba saatnya segala kesakitan, kepayahan dan kesusahannya akan hilang dan digantikan Allah dengan nikmat dan kesenangan yang paling manis sebagaimana janji Allah;

“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disusuli kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disusuli kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)” (al-Insyirah, ayat 5-7).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Syarah al-Jami’ as-Saghier, Imam an-Munawi, hadis no. 1933

ORANG KAFIR ZIARAH KUBUR ORANG ISLAM




1) Menurut fatwa dalam laman as-Syabakah al-Islamiyah; “Tidak ada tegahan ke atas orang bukan Islam untuk menziarahi perkuburan orang Islam untuk mengiringi jenazah kawan atau sudara mara mereka yang Islam dengan syarat yang menguruskan jenazah itu ialah orang Islam. Menurut Ibnu al-Qasim (salah seorang ulamak mazhab Maliki); “Tidak ditegah orang kafir untuk berjalan mengiringi jenazah, untuk turut mendoakannya, malah tidak ditegah jika ia ingin hadir bersama ketika jenazah dimandi dan dikafankan seperti ia membantu membawa air mandian atau sebagainya” (Mawahib al-Jalil). (Fatwa no. no. 100076).

2) Mengenai hukum perempuan menziarahi kubur, terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Menurut jumhur ulamak; makruh bagi kaum wanita menziarahi kubur berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

لعن الله زوارات القبور
“Allah melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur” (HR Imam Ahmad dan at-Tirmizi dari Abi Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

b) Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; diharuskan kaum wanita menziarahi kubur, malah ia disunatkan kepada mereka sebagaimana disunatkan kepada kaum lelaki berdalilkan sabda Nabi;

كنت نهيتكم عَن زيارة القبور، فزوروها. فإنها تزهد في الدنيا، وتذكر الآخرة
“Sesungguhnya aku dahulunya telah menegah kamu dari menziarahi kubur. Adapun sekarang ziarahilah kubur kerana ia sesungguhnya menjadikan kamu zuhud di dunia dan mengingatkan kamu kepada akhirat” (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Buraidah bin al-Hashib –radhiyallahu ‘anhu- dan Imam Ibnu Majah dari Ibnu Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Lafaz hadis adalah mengikut riwayat Ibnu Majah).

Hadis kedua ini membuka keharusan menziarahi kubur tanpa membataskannya kepada kaum lelaki sahaja. Adapun hadis pertama di atas, laknat dalam hadis tersebut hendaklah difahami kepada wanita-wanita yang menziarahi kubur dengan disertai tangisan melampau,[1] raungan atau ratapan yang ditegah oleh Nabi dalam hadis yang lain antaranya hadis Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;
أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم برىء من الصالقة والحالقة والشاقة
“Sesungguhnya Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- berlepas diri (yakni tidak redha) dari wanita yang meraung/meratap (ketika berlaku musibah), wanita yang mencukur rambutnya (ketika musibah) dan wanita yang mengoyak-ngoyak pakaiannya (ketika musibah)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Laman as-Syabakah al-Islamiyah, fatwa no. no. 100076.
2. Fiqh al-Janaiz, Dr. Ahmad Mahmud Karimah, hlm. 56 (an-Nauh wa as-Shiyahah ‘Ala al-Mayyit) dan hlm. 394 (Hukm Ziyarati al-Qubur).

Nota hujung;

[1] Adapun tangisan yang biasa, ia diharuskan sebagaimana kata Saidina ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- tatkala melihat ahli keluarga Khalid bin al-Walid mengangis pada hari kematian Khalid;
قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ دَعْهُنَّ يَبْكِينَ عَلَى أَبِي سُلَيْمَانَ مَا لَمْ يَكُنْ نَقْعٌ أَوْ لَقْلَقَةٌ
“Biarkanlah mereka menangis Abi Sulaiman (gelaran bagi Khalid) selagi mereka tidak menabur tanah atas kepala dan selagi mereka tidak meraung/meratap” (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, Bab; Ma Yukrahu ‘Ala an-Niyahah ‘Alal-Mayyit).

JAMPI / MENTERA PENGASIH

Adalah lebih baik saudara/saudari meninggalkan jampi/mentera yang tidak jelas maksudnya dan tidak jelas dari mana datangnya kerana dibimbangi ia membawa kepada pemujaan selain Allah (memuja iblis, syaitan, jin atau sebagainya). Sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Sesiapa menjaga dirinya dari melakukan perkara yang syubhah (yang samar antara halal atau haram), sesungguhnya ia telah menyelamatkan agama dan kehormatan dirinya. Sesiapa melakukan yang syubhah, dibimbangi ia akan terjatuh ke dalam yang haram" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari an-Nu’man bin Basyir –radhiyallahu ‘anhu-). Dalam sebuah hadis, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 2002) (*At-Tiwalah ialah sejenis sihir pengasih iaitu yang digunakan untuk menjadikan seorang perempuan dikasihi oleh seorang lelaki. Lihat Faidhul Qadier, hadis no. 2002).

Jangan terpengaruh dengan perkataan Bismillah atau nama Allah yang tertulis di awal jampi/mentera atau diakhirnya kerana perkataan tersebut tidak boleh menjadi hujjah untuk menghalalkan yang haram sekalipun manusia menulis atau melafaznya puluhan atau ratusan kali sekalipun. Ia sama seperti seorang yang bersumpah dengan nama Allah sedangkan kandungan sumpahnya adalah palsu, maka nama Allah itu tidak menjadikan sumpah palsu itu sebagai benar (malah ia berdosa di sisi Allah kerana bersumpah palsu). Begitu juga seorang yang membaca Bismillah ketika minum arak, Bismillah itu tidak akan menjadikan arak itu halal.

Adalah memadai kita memohon hajat kita terus dari Allah dengan berdoa dengan bahasa yang kita fahami (mengikut hajat kita) atau dengan kita berzikir dan berdoa dengan doa-doa yang maksur dari Allah dan RasulNya. Cukup banyak doa-doa dalam al-Quran dan as-Sunnah yang dapat kita pilih yang bersesuaian dengan hajat kita. Doa yang diambil dari al-Quran dan as-Sunnah telah jelas kebenarannya, bebas dari syirik dan diberi pahala bila kita membacanya kerana ia adalah ibadah. Di samping berdoa dengan doa-doa yang maksur, kita juga boleh memohon hajat kita dari Allah dengan melakukan solat hajat, solat istikharah, solat malam dan amalan-amalan sunat yang lain (seperti puasa, sedekah, membaca al-Quran dan sebagainya di mana setelah kita melakukan amalan-amalan soleh itu, kita mengangkat tangan berdoa kepada Allah agar hajat kita dimakbulkan. Ini dinamakan bertawassul dengan amalan-amalan soleh). Jelaslah kepada kita bahawa cara dan kaedah untuk kita memohon hajat dari Allah mengikut cara yang telah disyariatkan oleh Allah dan RasulNya di dalam al-Quran dan as-Sunnah cukup banyak, telah memadai untuk kita dan tidak perlu lagi kepada jampi-jampi, mentera-mentera atau lain-lainnya yang tidak pasti kebenaran dan manfaatnya.

Wallahu a'lam

TUDUNG YANG DIPINKAN KEBELAKANG,,MENYAMAI BIARAWATI KRISTIAN

 



Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini sebagaimana arahan Allah;

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)

Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian lelaki atau corak-corak lain yang tidak sesuai dengan idenditi wanita Islam. Warna yang disukai Rasulullah ialah warna putih sebagaimana sabdanya; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu” (HR Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab r.a.).

Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda; "Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu Umar). Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).

Namun para ulamak menjelaskan; maksud peniruan/penyerupaan kepada orang kafir atau orang fasik yang dilarang ialah yang khusus bagi sesuatu kaum kafir atau fasiq iaitu yang menggambarkan indentiti mereka, seperti; salib (yang melambangkan agama kristian), sabit dan penukul (lambang komunis), lambang nazi, pakaian-pakaian orang fasiq (seperti gaya berpakaian artis-artis Barat), gaya-gaya rambut orang fasik dan sebagainya. Adapun pakaian yang dipakai oleh orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa seperti seluar, baju kemeja, kot dan sebagainya atau berlaku kesamaan/keserupaan secara kebetulan seperti jubah litup yang dipakai oleh imam-imam, ulamak-ulamak dan dipakai juga oleh paderi-paderi Kristian dan Yahudi, kopiah yang dipakai oleh orang-orang Islam dan turut dipakai oleh sebahagian penganut bukan Islam (seperti orang Yahudi), tudung kepala (yang turut dipakai juga oleh paderi-paderi wanita kristian) dan sebagainya, penyerupaan/kesamaan secara umum atau kebetulan ini tidaklah termasuk dalam larangan hadis kerana ia bukan bersifat khusus bagi sesuatu kaum kafir atau melambangkan identiti agama mereka.

Adakalanya suatu pakaian menjadi identiti agama di satu tempat, tetapi di tempat lain ia adalah pakaian biasa yang tidak melambangkan agama. Maka ditempat lain itu, tidaklah dianggap menyerupai penganut agama lain jika ia dipakai oleh orang Islam. Imam Malik pernah ditanya hukum memakai sejenis pakaian bernama al-Burnus.[1] Ia menjawab; "Harus". Dikatakan kepadanya; "Tetapi ia adalah pakaian rahib-rahib Nasara (ahli-ahli ibadat Kristian)". Imam Malik menjawab; "Ia di sini (di Madinah) dipakai oleh orang ramai". Begitu juga, suatu pakaian mungkin pernah menjadi identiti agama di satu masa, namun setelah zaman berubah, ia tidak lagi menjadi identiti agama. Imam Ibnu Hajar ketika mengulas tentang sejenis pakaian yang bernama al-Mayasir al-Arjuwan yang dilarang oleh Nabi di zamannya, beliau (yakni Ibnu Hajar) berkata; Pakaian tersebut jika sebab larangannya adalah untuk mengelak dari mengerupai orang-orang asing (orang-orang bukan Islam) maka larangan tersebut adalah kerana maslahah agama. Namun oleh kerana pakaian itu hanya menjadi syiar agama pada ketika itu sahaja iaitu pada zaman mereka masih kafir, kemudian hari ini ia tidak lagi menjadi syiar agama, maka larangan tersebut telah hilang. (Lihat; Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....). Apa yang disebut oleh ulamak itu mungkin boleh kita samakan dengan masalah pemakaian cepiau (topi).[2] Pada zaman dulu, pemakaiannya difatwakan haram oleh ulamak-ulamak kerana ia adalah topi penjajah. Apabila seorang muslim memakainya pada ketika ia seolah-olah dari kalangan penjajah atau yang pro penjajah. Namun hari ini, faktor yang menyebabkab larangan itu telah tidak ada lagi, maka tidak ada ulamak yang memfatwanya sebagai haram dipakai oleh orang Islam hari ini.

Untuk memudahkan kita membezakan bentuk penyerupaan yang harus dan yang tidak harus, di bawah ini dikemukan beberapa dhabit yang diberikan ulamak;
1. Berkata Imam al-Qurthubi; "Jika suatu pakaian telah menjadi identiti khusus bagi golongan fasik atau golongan yang suka berpoya-poya, dilarang orang lain memakainya" (Faidhul-Qadier, 6/104).
2. "Semua jenis pakaian yang boleh menimbulkan tanggapan kepada orang yang melihat bahawa si pemakainya adakah kafir atau dari kelompok fasik, maka ia adalah penyerupaan yang dilarang agama" (Syeikh Abdul-Wahhab Tawilah).
3. "Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka" (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).
4. "Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuati yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain" (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).

Merujuk kepada soalan di atas, apakah tudung yang dipin ke belakang itu benar-benar menyerupai biarawati kristian?, persoalan ini perlulah diselidiki lebih lanjut. Namun secara zahirnya, di Malaysia ini wanita-wanita Islam yang memakai tudung sebegitu tidaklah dilihat oleh orang lain sebagai biarawati kristian atau orang yang ingin meniru mereka. Ia mungkin berlaku secara kebetulan. Oleh itu, pada pandangan saya ia tidaklah boleh kita anggap sebagai menyerupai biarawati Krisrian secara dasarnya. Namun dari segi pemakaian tudung, hendaklah dipastikan ia mematuhi ciri-ciri tudung yang ditetapkan Allah tadi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus-Salam Tawilah, hlm. 182.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....
2. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 69789.

Nota hujung;

[1] Burnus; tutup/tudung kepala bersekali dengan baju atau jubah (lihat; Kamus al-Marbawi). Ia dipakai oleh rahib-rahib Kristian.
[2] Cepiau; Syeikh Idris al-Marbawi dalam kamusnya (Kamus al-Marbawi) menyebutkan; ia haram dipakai