Friday, October 28, 2011

HUDUD DAN BEBERAPA GAMBARAN SALAH



Perbincangan ini menyambung artikel yang lepas tentang perlaksanaan hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.

Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.

Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.
Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:
“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)
Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.
Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:
“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).

- Gambar Hiasan
Membezakan Jenis Jenayah
Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):
“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)
Hudud Dan Hak Privasi
Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Membina Masyarakat Yang Pemaaf
Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:
“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.
Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).
Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.
Hudud Memerlukan Ijtihad Baru
Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.
Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment).
‘HARAPAN’ DAN KEBANGKITAN ARABProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Gaddafi telah dibunuh dengan cara yang dahsyat dan tidak disangka. Seorang yang sebelum ini digeruni dan ditakuti, telah diheret dan dihina bagaikan binatang yang hendak disembelih. Bahkan lebih buruk daripada itu. Siapa sangka? Seorang manusia yang sebelum ini tiada siapa dapat membantahnya dibunuh demikian rupa.

Gaddafi bukan tiada langsung jasa. Banyak juga pihak yang ditolongnya. Namun, kekejamannya melebihi jasanya. Saya masih terkenang ramai kawan-kawan dari Libya yang amat ketakutan terhadap regim Gaddafi sekalipun berada di luar Libya. Mereka kelihatan risau jika kita bertanya atau mengkritik Presiden mereka. Apa tidak, banyak siri pembunuhan rakyat Libya yang berada di luar negara yang dituduh membangkang kerajaan.

Sejak memerintah dari tahun 1969, ribuan rakyat telah dibunuh atas tuduhan ‘tidak setia’. Pada tahun 1973, Gaddafi mengisytiharkan hukuman mati kepada sesiapa yang menubuhkan parti politik. Sejak itu ramai tokoh-tokoh pemikir Libya yang dibunuh dalam dan luar negaranya. Ramai yang diseksa sehingga mati, termasuk aktivis-aktivis pelajar.
Pada tahun 1983, Gaddafi menggantung mati pelajar di hadapan khalayak ramai dalam College of Engineering, Tripoli. Dalam 1984, Gaddafi menggantung mati pelajar Sadiq Shwehdi dalam bulan Ramadan dan keluarga dipaksa menonton hukuman itu. Demikian Mustafa al-Nuwairy dihukum mati di hadapan pelajar dan pensyarah di Benghazi University. Hafed al-Madani menerima nasib yang sama di hadapan pensyarah dan rakan di College of Agriculture, Tripoli. Demikian juga nasib pelajar di College of Pharmacy, Tripoli.
Begitu ramai aktivis pelajar dan pemikir yang dihukum mati di khalayak ramai. Keluarga dan taulan dipaksa menonton kekejaman itu. Bahkan ada yang disiarkan melalui siaran TV Libya, kononnya sebagai pengajaran kepada rakyat yang tidak setia. Kesemuanya atas ‘jenayah’ dituduh tidak setia kepada Muammar Gaddafi.
Puluhan ribu nyawa rakyatnya yang dibunuh dan diseksa sepanjang lebih 42 tahun menjadi rejim negaranya. Hilang tanpa berita, sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat Libya. Dibunuh, dirogol dan pelbagai lagi hanya kerana bercakap tentang hak bersuara. Anak-anaknya begitu bermaharaja lela dengan hasil minyak Libya, dan kejam dengan kuasa yang ada.

Mana Kemuliaan
Mungkin kita juga tidak suka cara rakyatnya membunuh beliau. Mereka pun barangkali sudah terikut-ikut dengan perangai bekas pemimpin mereka itu, lalu mereka menyeksa dan membunuhnya serta disebarkan untuk menjadi tontonan ramai. Alangkah baik, jika dia ditangkap dan diserahkan kepada pengadilan, kemudian dihukum. Dalam usaha mereka hendak menegakkan negara yang adil, mereka sepatutnya melakar sikap baru yang berperaturan dan meninggalkan budaya lama yang merosakkan.
Namun, Gaddafi mengingatkan kita bahawa Allah Maha Berkuasa atas segalanya. Allah memuliakan siapa yang Dia kehendaki dan menghina siapa yang Dia kehendaki. Pada tanganNya kerajaan dan kekuasaan hakiki. Pernahkah Gaddafi, bahkan rakyat Libya sendiri bayangkan pada suatu hari pemimpin mereka yang begitu berkuasa dan megah akan dibunuh demikian rupa. Bukan di istananya, tetapi dalam lubang kotoran yang terpencil dalam negaranya yang porak peranda atas kekejamannya. Dia memanggil rakyatnya ‘tikus’yang cuba menentangnya, akhirnya dialah yang bersembunyi dalam lubang tikus sebelum dibunuh oleh rakyatnya.

Akhbar UK melaporkan kematian Gaddafi dengan begitu hina.
Perasaan saya bercampur baur apabila membaca akhbar-akhbar di UK mengenai pembunuhan Gaddafi. Mereka bagaikan meraikan kematian Gaddafi, bahkan meraikan cara dia dibunuh. Sentiment Lockerbiemungkin menguasai mereka. Akhbar-akhbar menggelar Gaddafi sebagai ‘dead dog’, ‘mad dog’, ‘the rat’ dan pelbagai lagi.
Satu perasaan aneh menjelma apabila melihat seorang wartawan akhbar The Sun UK, yang berada di tepi mayat Gaddafi dengan penuh bangganya. Alangkah hinanya dunia Islam ini. Kita menjadi bahan sendaan orang lain. Di manakah ayat Allah (maksudnya):
“Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat wasata (adil dan contoh), supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang kebenaran) dan Rasul itu (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas kamu”. (Surah al-Baqarah: 143).
Apakah keindahan politik di dunia umat Islam yang dapat dicontohi oleh orang lain?! Di manakah kita sebagai saksi kebenaran?!
Gaddafi ketika membunuh rakyatnya menggunakan nama Islam sebagai tiket yang menghalalkan tindakannya. Anaknya pun bernama Saif al-Islam (Pedang Islam). Mereka yang membunuhnya juga menggunakan nama Islam. Laungan takbir ‘Allahu Akbar’ dilaporkan oleh media Barat dan Timur mengiringi pembunuhan ke atas Gaddafi. Di manakah Islam yang sebenar? Orang Barat mungkin bertambah keliru. Tuduhan Islam agama darah bertambah kukuh dalam benak mereka yang gagal memahami hakikat agama ini.

Benaissa
Dalam dua minggu di sini, saya bersahabat baik dengan seorang yang berpengalaman. Mohammed Benaissa. Beliau bekas menteri luar, Morocco (1999-2007). Pernah berkhidmat dengan PBB selama 11 tahun. Mendapat pelbagai anugerah antarabangsa, termasuk Aga Khan Award pada tahun 1989. Beliau turut menjadi fellow di OCIS, Oxford. Saya simpulkan beliau memang seorang yang ‘terbuka’ atau liberal.
Saya ramai kenalan arab, tetapi ramai yang stereotype saja. Beliau agak lain. Mungkin pengalamannya yang panjang menjadikan beliau mempunyai kesimpulan-kesimpulan yang menarik. Beliau ke sini untuk membahaskan tentang ‘Arab Spring’ ataupun kebangkitan Arab yang sedang berlaku. Sudah ada beberapa pembentang yang lain.

Penulis dan bekas Menteri Luar Morocco makan tengahari di sebuah restauran di Oxford.
Hari pertama saya jumpa beliau ketika sessi minum kopi di OCIS. Dalam diskusi tidak formal itu, beliau menegaskan kepada fellow yang lain tentang kepentingan memisahkan agama daripada politik. Baginya, agama telah mengelirukan keadaan politik. Sering dijadikan alat untuk menghalalkan pelbagai kehendak dan kerakusan. Ya, kerangka fikir ini, biasanya akan dicop oleh sesetengah sebagai sekularisma. Namun, saya cuba memahaminya dengan lebih mendalam. Saya anggap itu sebagai keluhan kecewa seorang insan arab yang gagal melihat peranan hakiki agama dalam penegakan keadilan dan kemajuan umat dalam politik.
Entah bagaimana, beliau kemudian, begitu baik dengan saya. Setiap kali waktu minum dan makan, beliau akan menelefon saya. Saya ambil peluang itu untuk berdiskusi dengan beliau. Banyak manfaat dari pengalamannya yang saya kutip. Beliau sekali menyatakan kepada saya bahawa ulama telah banyak mengelirukan rakyat Arab. Pelbagai fatwa untuk pelbagai kepentingan dikeluarkan.
Rakyat Arab dikhayalkan dengan pelbagai pandangan jumud agama yang gagal membawa mereka ke hadapan. Di kala rakyat susah dan miskin, golongan agama ada yang sibuk mengajak supaya orang Islam kembali memakai pakaian zaman Nabi s.a.w, menyingsing singkat kain dan menutup wajah. Kemiskinan dan kelaparan dihalalkan dengan nas-nas yang mengkhayalkan. Beliau seakan bersetuju dengan Karl Marx:“Religion is the sigh of oppressed creature…it is the opium of the people”.
Saya kata kepada beliau: “Itu agama palsu, atau yang disalahgunakan oleh golongan yang berkepentingan. Adapun Islam yang sebenar, yang diturunkan oleh Allah sebagai petunjuk untuk manusia, ia merentasi batasan kepentingan individu dan parti politik tertentu. Malangnya, Islam seperti itu jarang dizahirkan kerana manusia ramai yang berkepentingan”. Beliau jawab: “Ya, itu maksud saya”.
Dalam tempoh dua minggu bersahabat dengannya, ada perkara saya setuju dan ada yang saya kurang setuju. Namun saya hormati hak beliau dalam memberikan pandangan. Rabu baru ini beliau membentangkan kertasnya dalam seminar yang berkaitan dengan Arab Spring. Tajuk beliau The Economic and Political Causes of Change.
Ada beberapa perkara yang saya suka petik dari pembentangan itu. Antaranya beliau menyatakan bahawa Arab sedang menuju ke arah perubahan, namun memerlukan masa. Demokrasi dan kedamaian yang dinikmati oleh Eropah tidak datang dalam satu malam, sebaliknya setelah 200 tahun berperang antara satu sama lain, terhasillah keadaan sekarang. Arab juga barangkali memerlukan keadaan yang sama untuk menghasilkan kesimpulan yang terbaik.
Beliau menyentuh tentang kepentingan ‘hope’ atau harapan dalam jiwa rakyat tentang politik. Apabila hilangnya harapan atau impian rakyat maka segalanya mungkin berlaku. Perkara penting bagi sesebuah pemerintahan adalah menempatkan harapan dalam jiwa rakyat.

Harapan
Saya ingin mengembangkan nota ini. Ya, insan hidup dengan harapan atau cita-cita. Kecil atau besar tidak penting. Selagi ada harapan, insan akan cuba bangun dan meneruskan hidup. Jika putus asa mengambil tempat harapan, maka pelbagai perkara buruk akan dilakukan. Putus asa boleh membawa insan membunuh diri dan mengganas. Sanggup memusnahkan apa sahaja kerana segalanya sudah tidak bernilai lagi. Justeru, akidah Islam melarang putus asa terhadap Tuhan. Pintu harapan terhadap Tuhan sentiasa dibuka. Firman Allah (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar:53).
Dalam politik, sesebuah kerajaan yang gagal memberikan harapan dan menimbulkan putus asa dalam jiwa rakyat -seperti di beberapa negara Arab sekarang- akan menyebabkan rakyatnya bangkit mengorbankan apa saja. Apabila harapan sudah tiada, kekecewaan menyelubungi hidup maka manusia akan bertindak dengan cara yang tidak dijangka. Mati dan hidup sudah tiada bezanya. Tiada siapa hendak mengadu, maka tindakan atas apa saja harga akan dilakukan. Inilah yang berlaku dalam Dunia Arab hari ini.
Kembalinya sebahagian rakyat kepada agama dalam tempoh kekecewaan politik juga hendaklah dinilai dengen teliti; apakah kerana mereka benar-benar memahami ajaran agama, atau kerana mereka sudah hilang harapan melainkan mengadu kepada Tuhan. Apabila mereka kembali mempunyai harapan, jika mereka kekal atas agama, itu pengembalian yang tulen. Jika tidak, itu sebaliknya.
Dalam negara kita, bagi saya mana-mana parti politik yang paling boleh memberikan harapan impian dalam kerangka hari ini, akan mendapat tempat dalam jiwa rakyat terutama golongan muda yang mempunyai banyak harapan dan cita.