Harga Barang Terus Meningkat, Peniaga, Pengguna Mengeluh
SHAH ALAM 4 FEB : Harga barang yang melambung berikutan kenaikan harga minyak sejak 1 Februari lalu jelas menunjukkan kerajaan tidak prihatin dengan bebanan yang ditanggung rakyat.
Tinjauan Tv Selangor ke Pasar Seksyen 6, Shah Alam mendapati, rata-rata peniaga dan pengguna mengeluh berikutan kenaikan harga barang sehingga menjejaskan perbelanjaan harian.
M Suhaimi seorang peniaga runcit lebih 22 tahun berkata, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana perbelanjaan harian meningkat sekali ganda dari kebiasaan sehingga modal perniagaan mencecah RM4500.00 sehari.
"Perayaan memang kita rasa sangat harga terlalu tinggi. Hari biasa jauh kadar perbelanjaan. Hari ini saya pergi ke Pasar Borong Klang, harga daun bawang, sepanjang 22 tahun saya berniaga di sini, harga bawang menjadi RM25.00 sekilo. Biasanya paling tinggi dalam lingkungan RM10.00. Keadaan ini seolah-olah tiada siapa yang ambil peduli," katanya.
Beliau menambah, memandangkan kenaikan harga minyak menjadi punca peningkatan harga barang, beliau menyarankan kerajaan perlu bertindak dengan menurunkan harga minyak dengan kadar segera.
"Oleh kerana kenaikan minyak menjadi punca semua harga barang naik. Jadi pada saya kalau boleh turunkan semula harga minyak. Malaysia mengeluarkan minyak. Walaupun minyak dunia dikatakan mahal, saya rasa kita jual balik minyak kita dan kita peroleh keuntungan berlipat ganda. Mengapa kita perlu ikut harga dunia? ” katanya.
Bagi peniaga ikan, Isabella berkata, hampir setiap hari menerima rungutan orang ramai lebih-lebih lagi sejak kenaikan harga barang ditambah dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan mentah.
"Modal abang tinggi dan pembeli mula merungut. Abang pun tidak boleh buat apa-apa sebab abang beli pun mahal. Dari segi nak dapatkan stok pun pening. Terpaksa berkejar-kejar sehingga pergi ke Sekinchan dan Perak untuk mendapatkan stok ikan," katanya.
Tekanan sudah pastinya dirasakan pengguna berikutan kenaikan harga barang sehingga menjejaskan perbelanjaan bulanan dan mengambil langkah berjimat cermat.
Menurut Asri Osman, beliau terpaksa memperuntukkan hampir RM 800 sebulan untuk perbelanjaan harian berikutan kesan kenaikan harga barang.
"Ternyata memberikan kesan kepada saya dari segi perbelanjaan di pasar raya. Kesan terhadap sumber pendapatan lebih-lebih lagi sebagai pekerja biasa memang terjejas. Biasa sebulan dalam RM500 hingga RM600 untuk perbelanjaan harian. Sejak kenaikan harga barang hampir RM700 hingga RM800 diperuntukan untuk perbelanjaan.
"Agak tertekan sedikit dari segi ekonomi dan terpaksa berjimat cermat dan terpaksa berbelanja lebih sedikit daripada yang biasa," katanya.
Bagi Halim, selain langkah berjimat cermat, beliau merasakan perbandingan harga perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan dalam menentukan pembelian.
"Saya terpaksa membuat banyak perbandingan dan memilih serta memerhati sebelum membuat belian. Saya terpaksa pergi ke pelabuhan Klang untuk mencari ikan segar dengan harga yang murah dan terpaksa bersaing dengan yang lain. Kita terpaksa berkorban masa sedikit dan tak ramai orang yang sanggup buat," katanya.
Bagi peniaga bahan mentah, Ibrahim berkata, kenaikan harga barang mentah bukan sahaja berpunca daripada kenaikan harga minyak semata-mata, tetapi berpunca daripada peraih yang meletakkan harga yang tinggi kepada pengusaha.
"Saya terpaksa menaikkan sedikit harga sebab saya tiada pilihan. Walau bagaimanapun saya terpaksa kawal harga namun tetap memberikan kesan kepada peniaga.
"Biasa dulu saya jual ikan kembung dalam harga RM8.00 sekilo, saya terpaksa naikkan sehingga RM9.00. Kadang-kadangbukan saya naikkan harga tetapi peraih. Walaupun nelayan tempatan mendapat subsidi, tetapi harga dikawal oleh peraih," katanya
No comments:
Post a Comment