Monday, January 24, 2011

Hikayat Bersalam Dengan Wanita Umno

Kami semua berbaris di hadapan kerusi masing-masing menunggu ketibaan orang besar-besar. Di belakang kami pula ratusan orang-orang kanan kerajaan juga berdiri seperti kami. Suasana sunyi apabila kelibat orang besar itu kelihatan. Perhimpunan pagi itu adalah perhimpunan rasmi.
Orang besar itu dan isterinya bersalam dengan semua orang, lelaki perempuan. Suaminya mendahuluinya. Sampai giliran saya, selepas suaminya menyalami saya, dia turut menghulur tangan untuk bersalam dengan saya.
Saya meluruskan tangan ke bawah sambil menundukkan kepala memberi hormat. Isteri pemimpin itu berlalu dan bersalam dengan orang selepas saya seorang demi seorang sama seperti suaminya juga, tanpa mengira jantina.
Saya menjangkakan perkara itu selesai di situ, namun rupa-rupanya tidak. Setelah isteri pemimpin berkenaan selesai bersalam dengan semua orang, dia berpatah balik dan menuju bulat-bulat kepada saya. Betul-betul di hadapan saya, sekali lagi dia menghulur tangan untuk bersalam dengan saya secara khusus.
Dengan terkejut, tanpa pilihan, dengan puluhan mata memandang ke arah saya dan dia, dengan terpaksa, bertujuan untuk tidak memalukan isteri pemimpin berkenaan, dengan teragak-agak saya menghulurkan tangan dan bersalam dengannya.
Darah menyirap dan muka saya terasa panas. Saya tidak tahu apa perasaan saya ketika itu, entah malu atau entah apa, dalam keadaan semua mata menghala kepada kami.
Isteri pemimpin itu tersenyum kepada saya, sinis. Dia seperti puas mungkin kerana telah berjaya mengenakan saya di khalayak ramai.
Semenjak suaminya tidak lagi berada di kerusi nombor satu negeri, isteri pemimpin itu tidak lagi kelihatan. Berbanding dahulu, seolah-olah dialah wanita pertama negeri. Namun, suaminya masih lagi menjadi orang kuat Umno di negeri Indera Kayangan.
Apabila pemimpin BN memainkan isu Cikgu Mala tidak bersalam dengan pengundi lelaki, pemimpin BN itu telah melakukan sesuatu yang benar mengikut neraca partinya. Dan, Cikgu Mala pula dikira bersalah berdasarkan neraca itu.
Demikianlah adanya, hikayat bersalam dengan wanita Umno

No comments:

Post a Comment