Wednesday, January 19, 2011

RAKYAT MARHAEN

RAKYAT MARHAEN
SHAH ALAM 19 JAN: Perbezaan agama tidak menjadi batu penghalang kepada komponen Pakatan Rakyat untuk bekerjasama dan melaksanakan agenda pelan pembangunan yang telah dirancang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San membidas tindakan Umno-BN menyerang Parti Tindakan Demokrat (DAP) berkenaan isu larangan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi pekerja Islam dari bekerja di premis yang menjual arak dengan mengatakan DAP hanya mahu merosakkan akhlak remaja Islam.
Beliau yang ditemui di sidang media bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di pejabatnya pagi tadi menambah, badan-badan kerajaan perlulah membuat rundingan dan perbincangan dengan pakar-pakar perundangan sebelum melaksanakan apa-apa dasar kerana impak yang diterima oleh masyarakat dalam isu ini amat besar.
Sementara itu Khalid pula berkata, masalah sosial yang timbul akibat gejala arak ini jika tidak dikawal akan menggugat keselamatan dan kesejahteraan kehidupan penduduk tanpa mengira kaum dan agama.
"Saya rasa, khususnya mentaliti di kalangan orang Melayu Islam yang mempunyai satu 'siege mentality' yang malangnya wujud di mana mereka menggangap bahawa masalah orang Islam ini mereka tak boleh bincang dengan semua, masalah ini khas untuk orang Islam dan pemikiran-pemikiran yang teralu eksklusif yang seperti itu perlu kita hakis dan mansuhkan dan kita nak perbincangan ini dilakukan dengan cara yang lebih terbuka dan melibatkan semua pihak," kata beliau.
Beliau turut menyuarakan sokongan beliau kepada cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menubuhkan satu dana khas membantu pekerja Islam yang mahu berhenti daripada bekerja di premis menjual arak.
Katanya lagi, tidak patut ada tanggapan bahawa orang bukan Islam mahu orang Islam bekerja di industri seperti ini agar boleh merosakkan akhlak orang Islam dan pemikiran-pemikiran seperti itu serta memahami bahawa ajaran Islam adalah relevan bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada orang bukan Islam.
Dalam pada itu, Weng San menjelaskan ketiga-tiga parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) sememangnya mempunyai perbezaan pendirian antara satu sama lain tetapi apa yang dititik beratkan ialah persamaan antara mereka di dalam menjalankan polisi-polisi atau melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
"Saya juga ingin menjelaskan kalau ada apa-apa pihak yang cuba mengungkitkan bahawa Pas jadi budak suruhan DAP, DAP jadi budak suruhan Pas, dan PKR jadi budak suruhan Pas dan DAP, saya rasa semua ini adalah karut kerana hubungan kerja antara kerajaan PR di selangor adalah berasaskan kepada konsensus," tegas beliau.
Tambah Khalid, adalah jelas bahawa DAP bukannya anti Islam dan PAS juga bukannya bercita-cita memaksa sesuatu perundangan atau enakmen ke atas masyarakat.
"Khususnya bagi DAP, pasal DAP menjadi serangan bagi Umno, walaupun Umno tak buat apa-apa tetapi dia serang DAP, kata dia menghalang la, apa la, tetapi dia pun tak buat apa-apa pun. Jadi di sana tiada percubaan di pihak DAP untuk nak halang orang Islam mengamalkan agamanya dan tiada percubaan di pihak Pas untuk menghalang bukan Islam daripada mengamal agama mereka. Itulah konsensus di kalangan kita," jelas beliau lagi

No comments:

Post a Comment