Friday, January 14, 2011

BANTAH,,JANGAN TAK BANTAH

Penduduk Kg Petaling Bahagia kesal sikap membisu DBKL berhubung status sebidang tanah di perkampungan itu 

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Petaling Bahagia di Jalan Puchong disini kesal dengan sikap membisu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sehingga kini tidak telus dengan status sebidang tanah dikawasan perkampungan itu.
Tanah Lot 2574 terbiar seluas kira-kira dua ekar yang terletak dipersimpangan Jalan Puchong-Jalan Kuchai Lama pada awalnya dipohon penduduk kampung terbabit kepada Pengarah Jabatan Perancangan Bandar DBKL pada Oktober 2008 supaya sebuah dewan serbaguna orang ramai dan gelanggang futsal dapat dibangunkan dikawasan tersebut bagi kemudahan aktiviti riadah.
Namun permohonan tersebut ‘tidak dilayan’ dan DBKL tidak pernah memberikan sebarang jawapan sehinggalah pada Disember tahun lalu Kampung Petaling Bahagia didatangi sekumpulan kontraktor yang membersihkan kawasan tanah terbiar terbabit dan mula melakukan kerja-kerja pembinaan.
Apa yang menghairankan penduduk, kawasan tersebut dikelilingi pagar setinggi tiga kaki dan pemantauan ketat dilakukan oleh mandur tapak pembinan itu bagi mengelakkan orang luar menceroboh masuk.
Selain tiada papan tanda cadangan projek dipamerkan ditapak kawasan pembinaan, penduduk kampung juga terpinga-pinga kerana pihak DBKL tidak pernah tampil memberi penjelasan atau mendapatkan respon persetujuan mahupun bantahan tentang projek tersebut daripada mereka.
“Kami juga pernah cuba bertanya kepada pekerja pembinaan itu tapi masing-masing tutup mulut dan enggan memberitahu projek apa yang sedang dibangunkan,” kata salah seorang penduduk Herman Hambaly, 32, ketika ditemui pemberita disini hari ini.
Persoalan penduduk akhirnya terjawab apabila pada 26 Disember lalu, sebuah kain rentang memaparkan iklan mempromosikan Medan Selera Kuchai Lama yang menyajikan pelbagai makanan tempatan.
Medan selera jual minuman keras
Namun alangkah terkejutnya penduduk kampung apabila mendapati medan selera tersebut turut menjual minuman keras seperti yang diiklankan di kain rentang tersebut, tetapi difahamkan kain rentang tersebut sudah diturunkan selepas penduduk membuat aduan melalui pihak media dua minggu lalu.
Merasakan ‘suara’ mereka dinafikan DBKL dan bimbang dengan risiko gejala keruntuhan moral terutamanya dalam kalangan remaja, penduduk akhirnya sepakat mengumpul tandatangan membantah pembinaan medan selera tersebut.
“Selain membenarkan peniaga menjual makanan tidak halal, kawasan medan selera tersebut itu juga tidak sesuai kerana terletak berdekatan dengan tiga masjid (Masjid Jamek, Masjid Abdul Rahman Al-Auf, serta Surau Az-Zahra) dan rumah imam.
“Bayangkan keadaan semasa laungan azan berkumandang dimasjid berdekatan ada pengunjung gerai sedang bersuka ria sambil meneguk minuman keras.
“Kami juga bimbang jika penularan gejala sosial timbul dalam kalangan 800 penduduk yang majoritinya masyarakat Melayu beragama Islam akibat penjualan minuman beralkohol di medan selera itu,” kata Herman.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang hadir meninjau kawasan tapak pembinaan medan selera itu mempersoalkan sikap DBKLyang sehingga kini masih enggan berterus-terang kepada penduduk kampung tentang tapak kawasan tersebut.
Katanya, semakan terkini pada 11 Januari lalu mendapati status tanah tersebut masih milik Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
DBKL tidak ikut prosedur
Nurul Izzah berkata pihaknya sudah menulis surat kepada Datuk Bandar DBKL Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail minggu lalu bagi mendapatkan penjelasan tentang status tanah berkenaan dan prosedur yang sepatutnya dipatuhi DBKL apabila mahu membangunkan sesuatu projek dikawasan milik masyarakat kampung.
Beliau berkata, dalam surat tersebut juga diselitkan aduan tentang kontraktor yang gagal meletakkan papan tanda cadangan projek
membangunkan kawasan terbabit.
“DBKL tidak mengikut garis panduan yang betul mengikut syarat yang ditetapkan apabila tidak memantau sama ada wujudnya papan tanda cadangan projek pembangunan tapak kawasan medan selera itu.
“DBKL juga tidak mematuhi syarat Kaedah 5 sehingga penduduk kampung rasa diketepikan dalam hal ini,” katanya.
Kaedah 5 dibawah Kaedah-Kaedah Rancangan (Pembangunan) (Pindaan) 1994 merupakan suatu peruntukan undang-undang yang mengkehendaki Datuk Bandar merujuk kepada pemilik tanah berdaftar yang berdampingan melalui pengiklanan dalam akhbar untuk mempelawa bantahan terhadap permohonan kebenaran perancangan yang melibatkan penukaran zon guna tanah dan/atau penambahan kepadatan kediaman.
“Sehingga kini kira-kira 150 tandatangan daripada penduduk sudah dikumpul dan kita akan membawa bantahan ini kepada DBKL dengan sasaran sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah penduduk Kampung Petaling Bahagia,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk Mohd Zaidey Md Ali, 38, berkata walaupun pembukaan medan selera itu mampu menempatkan peniaga warung jalanan dalam satu kawasan yang selesa, namun beliau mahu peniaga Melayu turut diberikan peluang bersaing dalam kawasan tersebut.
“Saya difahamkan Fasa 1 medan selera yang menempatkan makanan masyarakat Cina sudah didirikan, Fasa 2 yang menempatkan peniaga Melayu dan cyber cafe beserta kawasan tempat letak kereta sedang dirangka namun belum dibangunkan.
“Jika projek ini diteruskan juga kami tidak boleh berbuat apa-apa namun kami tuntut kepada DBKL untuk pastikan supaya kebajikan penduduk Kampung Petaling Bahagia dan sekitar terjamin daripada sebarang gejala negatif,” katanya

No comments:

Post a Comment